SAYANGI DIRI SENDIRI DULU!

SAYANGI DIRI SENDIRI DULU!

Sayangi diri’ atau lebih mudah dikenali dengan self-love adalah satu konsep yang sangat penting dalam kesihatan mental. Ia juga sering dikaitkan dengan belas diri atau self-compassion. Kajian menunjukkan wanita lebih cenderung mengalami gangguan emosi iaitu sebanyak 37.3 peratus) dan boleh diperincikan kepada stres (24 peratus) dan depresi (32.6 peratus) berbanding lelaki. Antara faktor mendatangkan kesan terhadap emosi wanita adalah isu kewangan, isu berkaitan rumah tangga apabila turut dibebankan untuk menjaga anak serta ibu bapa yang tinggal bersama walaupun berkerjaya, persekitaran kediaman dan isu suami kurang bertanggungjawab. Menyayangi diri sendiri bukan bererti mementingkan diri tanpa memikirkan orang lain, tetapi lebih kepada berbuat ihsan, berlaku adil dan hormat terhadap diri. Sering kali wanita mendahulukan kebahagiaan keluarga tanpa menghiraukan diri sendiri. Walhal, kebahagiaan yang utama hanya boleh dikecapi apabila seseorang wanita itu menyayangi diri sendiri dan ia akan terzahir juga kepada ahli keluarga wanita itu. Seseorang wanita yang menyayangi diri sendiri akan sentiasa berusaha untuk membuat sesuatu mendatangkan kebaikan kepada diri dan menjauhi perkara yang boleh memudaratkan diri. Wanita ada sifat sayang diri yang tinggi mempunyai emosi lebih stabil dan mampu berdaya tahan serta bangkit semula dengan cepat apabila berhadapan dengan cabaran dalam hidup.

Berikut beberapa cara wanita dapat amalkan sifat sayang diri atau self-love:

1. Elakkan membandingkan diri dengan orang lain

Wanita perlu percaya setiap orang mempunyai baik, buruk, kekuatan, kekurangan dan rezeki masing-masing. Pemikiran yang suka membandingkan diri dengan orang lain, akan menyebabkan timbulnya keraguan terhadap kemampuan diri sendiri dan berasakan seolah-olah diri sendiri tidak cukup sempurna seperti orang lain. Lebih-lebih lagi dalam zaman moden ini apabila media sosial menjadi sebahagian daripada hidup, masyarakat lebih cenderung untuk membuat perbandingan dengan kehidupan orang lain yang dirasakan lebih bahagia daripada mereka. Perlu diingatkan segala perkongsian di media sosial ini tidak menggambarkan keseluruhan kehidupan sebenar seseorang itu. Tanpa disedari, mereka mungkin juga sedang melalui pahit getir dalam kehidupan. Perbandingan sosial melalui media sosial ini dikhuatiri akan memberi implikasi yang negatif terhadap kesihatan mental. Wanita perlu sentiasa ingat bahawa kehidupan di dunia ini bukanlah satu perlumbaan. Jadi, wanita perlulah fokus kepada kehidupan sendiri tanpa membandingbezakan diri dengan keadaan orang lain.

© 2021 All Rights Reserved.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *